SOALAN:
Baru-baru ini saya mengadakan majlis akikah untuk anak
lelaki saya yang baru saja dilahirkan. Mengikut hukum anak lelaki harus
korbankan dua ekor kambing, jadi saya telah pun menunaikannya. Ketika
majlis ini berlangsung ada juga tetamu bangsa Cina yang hadir.
Adakah sah akikah saya yang dimakan oleh tetamu bangsa Cina itu?
JAWAPAN:
Tiada tegahan dalam mana-mana nas secara qatie (muktamad) sama ada di
dalam al-Quran mahupun hadis-hadis Rasulullah SAW yang sahih yang boleh
difahami bahawa orang bukan Islam tidak boleh memakan daging akikah.
Selagi mana tiada nas yang secara sorih (terang) yang menegah maka
selagi itulah perkara itu dilihat suatu yang tidak mutlak dari hukumnya.
Apa yang perlu difahami di sini ialah hukum melaksanakan akikah itu
sendiri.
Di samping itu daging akikah yang dimasak dengan sedikit rasa manis
itu diharapkan agar perangai dan budi pekerti anak tersebut akan menjadi
elok dan baik. (Al-Majmu: 8/322)
Pengertian akikah menurut syarak
Akikah dalam pengertian syarak ialah binatang ternakan yang berkaki
empat (binatang anam) yang disembelih ketika hendak mencukur rambut
kepala anak yang baru dilahirkan, sama ada disembelih pada hari ketujuh
atau selepasnya.
Falsafah tuntutan menunaikan akikah adalah sebagai tanda kesyukuran
seseorang setelah mendapat anugerah cahaya mata yang dikurniakan oleh
Allah SWT.
Justeru ia lebih baik di kongsi sesama Islam. Ini kerana ia juga
seumpama satu peringatan kepada yang lain untuk berakikah juga untuk
anak mereka (jika belum). Bagi bukan Islam, tiada peruntukan akikah.
Hukum melakukan akikah itu adalah sunat muakkad, iaitu sunat yang
sangat digalakkan dalam syarak. Perkara ini bukan sekadar nas
semata-mata malahan boleh dilihat sebagaimana perbuatan Rasulullah SAW
ketika baginda mengakikahkan cucundanya Hasan dan Husain r.a.
Ia bukanlah perkara yang wajib dilakukan kerana hal ini pernah
ditanyakan kepada Rasulullah, lalu baginda bersabda yang maksudnya:
Allah tidak menyukai kedurhakaan, seolah-olah Baginda tidak suka
menyebut nama itu (akikah). Baginda bersabda: Barang siapa yang
dikurniakan baginya anak, lalu dia ingin menyembelihkan untuk anaknya
maka sembelihlah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang sama keadaannya
dan bagi anak perempuan seekor kambing. (riwayat Abu Daud)
Maksud hadis daripada perkataan (suka atau ingin menyembelihkan untuk
anaknya) itu menunjukkan tidak wajib melakukan akikah, melainkan jika
akikah itu dinazarkan baharulah ia dipanggil akikah wajib.
Dalam hadis yang lain, sabda Rasulullah SAW: Anak-anak tergadai
(terikat) dengan akikahnya, disembelih (akikah) untuknya pada hari
ketujuh (kelahirannya) dan diberi namanya serta dicukur rambutnya.
(riwayat at-Tirmidzi)
Terdapat dua pendapat dalam menghuraikan maksud hadis anak tergadai dengan akikahnya di sini.
Pendapat pertama mengatakan bahawa jika tidak diakikahkan, anak itu
akan terbantut atau terhalang pertumbuhannya, tidak seperti anak-anak
lain yang diakikahkan.
Pendapat kedua
Pendapat kedua mengatakan bahawa maksudnya ialah anak itu tidak akan
memberi syafaat kepada kedua ibu bapanya pada hari kiamat kelak jika dia
tidak diakikahkan. Pendapat kedua ini adalah pendapat Imam Ahmad bin
Hanbal, dan pendapat ini dilihat pendapat yang lebih utama. (Mughni
al-Muhtaj: 4/369)
Akikah disebut dalam hadis yang bermaksud: Bersama bayi yang lahir
itu akikah, maka kerana itu mengalirkanlah darah (sembelihan) untuknya,
dan jauhkan baginya segala kesakitan (godaan syaitan). (riwayat Bukhari)
Ini bermakna: Setiap anak perlu dipajakkan (terhutang) dengan
akikah, disembelih untuknya pada hari ketujuh umurnya, dan diberi nama
dan dicukur rambut kepalanya. (riwayat Ashabus Sunan)
Akikah itu pula dari sudut bahasanya adalah tolakan iaitu tolakan dari gangguan dan godaan syaitan.
Adapun persoalan mengenai memberi makan atau dimakan daging akikah
oleh bukan Islam tidak mencacatkan amalan akikah. Biarpun daging akikah
itu dimakan oleh bukan Islam, akikah itu tetap sah dan tidak perlu
diulangi.
Sebenarnya perbuatan kita melabelkan hidangan dengan ayat hidangan
untuk orang Islam sahaja adalah tidak wajar. Seolah-olah kita
memperkecilkan tetamu yang datang ke majlis keraian kita dengan tidak
mengizin mereka menjamah apa yang dihidangkan oleh tuan rumah. Sedangkan
bukan Islam muslim boleh memakan daging akikah.
Setiap ibu bapa atau ahli keluarga apabila mengadakan majlis tersebut
mereka mengharapkan doa yang ikhlas daripada sanak saudara dan sahabat
andai atau jiran tetangga yang datang bertandang ke majlis itu.
Jika yang diundang itu bukan Islam sekurang-kurang kita dapat
menghampiri mereka dan memahamkan bahawa Islam tidak menghalang
pergaulan dan penglibatan bukan Islam dalam majlis yang diadakan oleh
orang Islam.
Ini sekurang-kurangnya memberi peluang kepada kenalan kita yang bukan
Islam mengenal amalan yang terkandung dalam agama yang suci ini.
No comments:
Post a Comment