Pernahkan
 anda bermuhasabah atau menilai dan menghitung kembali tentang amalan 
seharian. Kadang-kadang kita akan dapati amalan kita adalah terbalik 
atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam.
 Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut-ikut dengan
 budaya hidup orang lain. 
Perhatikan apa yang dipaparkan dibawah sebagai contoh amalan yang terbalik:-
1.
 Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga simati
 selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan 
seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di 
mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk 
keluarga simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka.
Keluarga
 tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan 
belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang 
hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta 
anak yatim yang ditinggalkan oleh simati atau harta peninggalan simati 
yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?
Jangan lupa derma ketika ziarah mayat
2.
 Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap 
salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada 
duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. 
Tetapi kalau ia menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi.
 Sepatutnya kalau menziarah keluarga si matilah kita patut memberi 
sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah
 panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.
3.
 Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik kemas 
dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid, 
pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini 
suatu perbuatan yang terbalik.
4.
 Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan diberi jamuan, kita rasa segan 
nak makan, malu-malu kucing kononnya malu dan beradab, sedangkan yang 
dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang supaya tuan 
rumah rasa gembira dan tidak membazir. Perangai tinggal makanan tak 
habis dah jadi budaya orang kita.
5.
 Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat 
malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah 
seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.
6.
 Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang 
berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta 
perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di 
bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya 
perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan 
kita?
7.
 Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri 
sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri 
pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari 
bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka 
dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? (Ini mesti ada tujuan 
lain!!!).
8.
 Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam periksa.
 Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi 
kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak 
mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau 
guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir
 tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir 
belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita 
sepatutnya lebih bimbang jika anak tidak dapat baca Al Quran atau 
bersolat dari tidak lulus periksa.
9.
 Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, 
mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak 
mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak 
panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu 
manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak memperhambakan diri 
padaNya segan dan malas.
10.
 Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau tidak, 
bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah, kain 
hamis berbau. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk 
suaminya, bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik
 ini membuatkan rumahtangga kurang bahagia.
Cukup
 dengan contoh-contoh di atas. Marilah kita berlapang dada menerima 
hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup 
kita menurut landasan dan ajaran Islam yang sebenar bukan yang digubah 
mengikut selera kita.
Allah yang mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.
Sabda Rasullullah SAW: "Sampaikanlah dariku walaupun satu ayat." (Riwayat Bukhari) 
 
 
No comments:
Post a Comment