Amalan-amalan ini menjadi sebab Allah S.W.T. melimpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.
Berdasarkan konsep rezeki yang telah diperkatakan, Allah S.W.T. memberi 
jalan buat setiap hamba-Nya untuk memperolehi rezeki dalam pelbagai 
bentuk yang boleh menjadi punca kebaikan dunia dan akhirat.
Di antaranya:
01.Menyempatkan diri beribadah
Allah S.W.T. tidak sia-siakan pengabdian diri hamba-Nya, seperti firman-Nya dalam hadis qudsi:
"Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat 
hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku 
akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup 
kefakiranmu." – [Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari 
Abu Hurairah r.a.]
02.Memperbanyakkan istighfar
Istighfar adalah rintihan dan pengakuan dosa seorang hamba di depan 
Allah S.W.T., yang menjadi sebab Allah S.W.T. jatuh kasih dan kasihan 
pada hamba-Nya lalu Dia berkenan melapangkan jiwa dan kehidupan si 
hamba. Sabda Nabi S.A.W.:
"Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah S.W.T. akan menghapuskan
 segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya 
rezeki dari arah yang tidak disangka." – [Riwayat Ahmad, Abu Daud, 
an-Nasa'i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas r.a]
03.Tinggalkan perbuatan dosa
Istighfar tidak laku di sisi Allah S.W.T.jika masih buat dosa. Dosa 
bukan saja membuat hati resah malah menutup pintu rezeki. Sabda Nabi 
S.A.W.:
"... dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya." – [Riwayat at-Tirmizi]
04.Sentiasa ingat Allah S.W.T.
Banyak ingat Allah S.W.T. buatkan hati tenang dan kehidupan terasa 
lapang. Ini rezeki yang hanya Allah S.W.T.beri kepada orang beriman. 
Firman-Nya:
"(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan 
mengingati Allah S.W.T.. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah 
S.W.T.hati menjadi tenteram." [Ar-Ra'd: 28]
05.Berbakti dan mendoakan ibu bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah S.A.W. berpesan agar siapa 
yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti 
kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan. Baginda S.A.W. juga
 bersabda:
"Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah
 S.W.T.akan memanjangkan umurnya." – [Riwayat Abu Ya'ala, at-Tabrani, 
al-Asybahani dan al-Hakim]
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab mengalirnya rezeki, berdasarkan sabda Nabi S.A.W.:
"Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya
 terputuslah rezeki (Allah S.W.T.) daripadanya." – [Riwayat al-Hakim dan
 ad-Dailami]
06.Berbuat baik dan menolong orang yang lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan 
meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga 
isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi S.A.W.:
"Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu." – [Riwayat Bukhari]
07.Tunaikan hajat orang lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah S.W.T. lapangkan rezeki dalam
 bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi S.A.W.:
"Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah S.W.T.akan menunaikan hajatnya" – [Riwayat Muslim]
08.Banyak berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak 
tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, 
dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua
 hajat. Wallahu a'lam.
09. Banyakkan berbuat kebajikan
Ibnu Abbas berkata:
"Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan 
rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala 
kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan 
tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya."
10.Berpagi-pagi
Berkata Nabi di dalam hadis yang diriwayatkan oleh at-Tabarani di dalam al-Awsath:
باكروا الغدو -أي الصباح- في طلب الرزق، فإن الغدو بركة ونجاح'
"Berpagi-pagilah (subuh) dalam mencari rezeki, sesungguhnya berpagi-pagi itu adalah berkat dan kejayaan."
Telah thabit dari Nabi SAW bahawasanya baginda berdoa kepada Allah supaya memberkati umatnya yang berpagi-pagi, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ashab as-Sunan yg empat dan Ibn Hibban dalam Sahihnya, Nabi melewati anaknya Fatimah r.ha yang sedang berbaring pada waktu Subuh, maka baginda bersabda:
يا بنية قومي اشهدي رزق ربك، ولا تكوني من الغافلين، فإن الله يقسم أرزاق الناس ما بين طلوع الفجر إلى طلوع الشمس 
"Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi dari kalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari." 
(Hadis Diriwayatkan al-Baihaqi)
11.Menjalinkan silaturrahim
Nabi S.A.W. bersabda:
"Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka 
hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya." – [Riwayat Bukhari]
12.Melazimi kekal berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah S.A.W. dan meminta pedoman mengenai
 beberapa perkara termasuk mahu dimurahkan rezeki oleh Allah S.W.T.. 
Baginda S.A.W. bersabda:
"Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah 
S.W.T. akan memurahkan rezeki." – [Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid
 al-Walid]
13.Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah S.W.T. dan menjadi sebab Allah S.W.T. 
buka pintu rezeki. Nabi S.A.W. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
"Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, 
yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar 
nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, 
nescaya Allah S.W.T. membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan,
 nescaya Allah S.W.T. menyedikitkan baginya." – [Riwayat ad-Daruquthni 
dari Anas r.a.]
14.Melazimi solat malam (tahajjud)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud memudahkan memperoleh 
rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan 
doanya dimakbulkan Allah S.W.T..
15.Melazimi solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan 
dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah 
S.W.T.dalam hadis qudsi:
"Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat 
rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku 
cukupkan keperluanmu pada petang harinya." – [Riwayat al-Hakim dan 
Thabrani]
16.Bersyukur kepada Allah S.W.T.
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah S.W.T.. Lawannya adalah kufur nikmat. Allah S.W.T.berfirman:
"Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku 
kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku 
amat keras." – [Ibrahim: 7]
Firman-Nya lagi:
"... dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur." – [Ali Imran: 145]
17.Mengamalkan zikir dan bacaan ayat Quran tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma'ul husna selain menenangkan, 
menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk 
keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi 
kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca 
secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, Insya-Allah 
dikatakan boleh menjadi sebab Allah S.W.T. melapangkan kehidupan dan 
memurahkan rezeki.
Selain itu, salah satu nama Allah S.W.T., yakni al-Fattah (Maha 
Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika 
diwiridkan selalu. Contohnya dibaca "Ya Allah ya Fattah" berulang-ulang,
 diiringi doa: "Ya Allah S.W.T., bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, 
bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya 'Alim."
Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi'ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a'lam.
18.Berdoa
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah S.W.T., penuh 
bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya. Dalam 
al-Quran, Allah S.W.T. menyuruh kita meminta kepada-Nya, nescaya Dia 
akan perkenankan.
19.Berikhtiar sehabisnya
Siapa yang berusaha, dia yang akan dapat. Ini sudah menjadi sunnatullah.
 Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah S.W.T. memberikan dunia 
kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tetapi agama
 hanya Allah S.W.T. beri kepada orang yang dicintai-Nya sahaja. – 
[Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim]
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas.
Misalnya, jika hendak tenang dibacanya Quran, jika hendak mendapat anak 
yang baik dididiknya sejak anak itu di dalam rahim lagi, jika hendak 
sihat dijaganya pemakanan dan makan makanan yang baik serta halal, jika 
hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha menjadi baik, jika 
hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20.Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan direzekikan rasa kaya dengan Allah S.W.T. seperti firman-Nya:
"Barang siapa bertawakal kepada Allah S.W.T., nescaya Allah S.W.T. mencukupkan (keperluannya)." – [At-Talaq: 3]
Nabi S.A.W. bersabda:
"Seandainya kamu bertawakal kepada Allah S.W.T.dengan sebenar-benar 
tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia 
pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang." – [Riwayat Ahmad, 
at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab 
r.a.]
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada takwa.
Dengan takwa, Allah S.W.T. akan memberi "... jalan keluar (dari segala 
perkara yang menyusahkan), dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak 
terlintas di hatinya." – [At-Talaq: 2-3]
Pendek kata, bagi orang Islam.. untuk murah rezeki dalam ertikata yang 
sebenar, kuncinya adalah dengan melaksanakan amalan-amalan takwa.
Amalan-amalan ini akan menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah S.W.T.,
 lalu Allah S.W.T. pasti melimpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan 
rasa kaya dengan pemberian-Nya. Insya-Allah.
 
 
No comments:
Post a Comment